Maksud riba
Dalam bahasa Arab, riba bermaksud pertambahan. Dalam hukum Islam, ia merujuk kepada pertambahan tertentu yang diambil tanpa pertukaran yang halal, terutamanya dalam dua keadaan. Yang pertama ialah apabila pemberi pinjaman meminta lebih daripada jumlah yang dipinjamkannya, sebagai balasan atas pinjaman itu atau atas penangguhan tempoh. Yang kedua ialah apabila barangan tertentu ditukar dengan barangan sejenis dalam kadar yang tidak sama atau secara bertangguh.
Bukan semua keuntungan itu riba. Allah berfirman bahawa orang yang memakan riba berkata, “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”, dan Dia menjawab: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba” (Al-Quran 2:275). Perniagaan melibatkan barangan atau perkhidmatan yang nyata, usaha dan risiko yang dikongsi, manakala riba ialah pulangan terjamin daripada pinjaman wang.



